Monday, 25 June 2012

MAYAT WANITA KAKI ZINA DIMAKAN LINTAH




Kisah ini diceritakan oleh seorang bomoh di salah sebuah negeri di Utara Semenanjung Malaysia sebagai pengajaran darinya.

“Dalam saya merawat seorang pesakit, saya telah dikhabarkan satu kisah tragis mengenai seorang isteri curang. 

Jamilah walaupun telah ramai anak, masih jelita dengan bentuk badan yang menarik. Tambahan beliau pandai bergaya, berkulit putih dan hanya bertudung litup sahaja. Jamilah berniaga kecil-kecilan dengan menjual beras seludup dari Thailand. Suaminya Husin hanya seorang petani di kampung.

Ketika itu kegiatan penyeludupan beras tidak dikawal oleh kerajaan seperti sekarang. Maka ramai para wanita melibatkan diri dengan berniaga beras seludup dari Thailand. Pendapatan hasil penjualan beras seludup tidaklah seberapa, hanya cukup untuk menampung kehidupan seharian sahaja.” jelasnya.

Husin berusia 50an. Beliau baik dan jujur. Beliau merestui pekerjaan isterinya dan menurut apa sahaja kata isterinya tanpa banyak bantahan. 

Sementara Jamilah pula semakin bebas ke sana ke mari dengan alasan pekerjaan. Kadang-kadang Jamilah pulang lewat malam bahkan pernah juga tidak pulang untuk sehari dua. Tetapi Husin tetap mempercayai kejujuran Jamilah dan percaya semuanya adalah demi mencari wang dan membela nasib keluarganya.

Wanita-wanita lain sekitar kampung Jamilah ramai juga yang melakukan pekerjaan menjual beras seludup namun ianya hanya sekadar boleh menyara kehidupan ala kadar sahaja. Berbeza dengan Jamilah yang menampakkan sedikit mewah dengan gelang dan rantai emas yang banyak pada tubuhnya. 

Maka terbit perasaan ingin tahu di hati ramai orang  yang mempertikai akan kelebihan Jamilah kerana  ramai juga yang melakukan pekerjaan sama namun tidak semewah Jamilah. Maka setiap pergerakan Jamilah mula menjadi intipan banyak mata tanpa disedarinya. 

Rahsia Jamilah mula terbongkar apabila pihak Imigresen Thailand membuat pemeriksaan di sempadan di mana tertangkap beberapa orang yang cuba menyeludup masuk beras dari Thailand termasuklah Jamilah ditahan sama ketika itu.

Namun setelah beberapa jam kemudian mereka nampak Jamilah dilepaskan oleh seorang pegawai Kastam Thailand dengan muka yang senyum dan beras seludupnya juga selamat dibawa balik ke Malaysia. Manakala orang lain yang menyeludup masuk beras terpaksa membayar denda dan beras mereka pula dirampas. 

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakan-rakan penyeludupnya yang lain. Kenapa Jamilah dilepaskan sedangkan mereka menerima nasib sebaliknya. Maka siasatan dibuat oleh beberapa orang yang tidak puas hati berkenaan. Akhirnya mereka mendapat tahu rupa-rupanya Jamilah telah memberikan rasuah kepada pegawai Kastam Thailand berkenaan dengan menyerah tubuhnya untuk ditiduri.

Malah rasuah tersebut bukan sekali dua bahkan telah banyak kali berlaku setiap kali tidak boleh membolosi diri ditahan Kastam Thailand di sempadan. Tidak lama kemudian mereka mendapat khabar bahawa rupa-rupanya semasa berada di  Thailand Jamilah memperdagangkan tubuhnya sebagai pelacur dengan lelaki-lelaki di negara itu. 

Cerita Jamilah mulai heboh diceritakan dan dicemuhi  oleh orang kampung serta masyarakat setempat. Mereka jijik Jamilah tergamak melakukan perkara terkutuk sedemikian semata-mata untuk mencari sedikit kemewahan. 

Suami Jamilah sudah lewat 50an mungkin juga tidak segagah dahulu lagi manakala Jamilah berusia lewat 40an masih bernafsu, tidak mustahil ianya satu perlakuan yang terdesak disamping minat pada wang. 

Husin seakan tidak percaya apabila diberitahu oleh orang kampung akan kecurangan isterinya. Husin serba salah, hendak menuduh isterinya curang beliau tidak mempunyai cukup bukti dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri. Maka Husin mengambil jalan selamat dalam pemikirannya dengan hanya mendiamkan diri dan berserah kepada Allah.

Selang beberapa tahun selepas itu, Jamilah diserang sakit  kepala, diikuti dengan demam dan kemudian jatuh sakit. Makin hari makin teruk sakit Jamilah. Selang beberapa minggu kemudian Jamilah mengalami nazak yang teruk. 


Pada hari sakaratul maut Jamilah dikatakan menyalak seperti anjing beberapa kali salakan sebelum nyawanya habis. Jamilah habis nyawa dalam keadaan menyedihkan dengan matanya terbeliak dan lidahnya terjelir. 

Upacara kematian dilakukan seperti biasa bagi menyempurnakan jenazah Jamilah. Setelah dikafankan liang lahad disukat dan digali. 


Bila tiba masa untuk dikebumikan, mayat Jamilah diusung ke kubur. Kejadian anih mula berlaku apabila mayat Jamilah hendak dimasukkan ke liang lahad. Kekecuhan pertama berlaku apabila didapati panjang liang lahad itu tidak mencukupi untuk meletakkan mayatnya. Maka mayat Jamilah diukur semula dengan hati-hati dan liang lahad dipanjangkan dengan ukuran yang baharu. 

Yang anehnya apabila dimasukkan mayat Jamilah, liang lahad masih tidak cukup panjang juga. Maka diulangi untuk kali ketiga akan proses memanjangkan lagi liang lahad itu.  Pun begitu didapati masih tidak cukup panjang untuk mayat Jamilah. Akhirnya orang kampung berserah kepada Tuhan melihat kejadian luar biasa itu dan mayat Jamilah disimpan begitu tanpa memanjangkan lagi liang lahadnya.


Setelah semua keluarga pulang ke rumah, tiba masa untuk Husin membuat sijil kematian Jamilah pada hari itu juga. 

Bila diminta kad pengenalan daripada anak perempuannya kata anaknya itu, “Allah, abah sewaktu mengkafankan mayat mak, saya terletak kad pengenalan atas jenazah mak. Kad pengenalan itu ada bersama mayat mak dalam kubur” 

Husin agak terganggu dan memarahi anak perempuannya itu kerana terpaksa memanggil penggali kubur untuk menggali kembali liang lahad kubur arwah Jamilah yang baru beberapa jam dikebumikan tadi.

Maka kubur itu digali semula. Alangkah terkejutnya beberapa orang yang mengikut Husin, termasuk diri saya sendiri, kerana melihat mayat Jamilah telah didatangi beberapa ekor ulat seperti lintah namun bertaring menggigit tubuh mayat Jamilah. 

Husin cuba mengenepikan beberapa ekor ulat itu beberapa kali namun ulat yang sama itu kembali ke tempat asal di mana ianya menggigit tubuh mayat Jamilah tadi. Kejadian itu amat pelik sekali.

Setelah itu mayat Jamilah terpaksa dipusingkan agar tangan boleh diseluk ke dalam bungkusan kain kafannya untuk mendapatkan kad pengenalannya. Dalam mengiringkan mayat Jamilah itu sekali lagi kejutan berlaku. Terdapat beribu-ribu ekor ulat seperti lintah bertaring itu berada di bawah mayat Jamilah . Segera kami menimbusnya kembali setelah berjaya mendapatkan kad pengenalannya itu.

Saya tidak dapat membayangkan akan apakah rahsia sebenarnya kejadian yang Allah pertunjukkan sebegitu. Namun saya terasa agak seram dan insaf bila melihat kejadian aneh sebegitu buat pertama kali dalam sejarah hidup saya. Di dunia lagi Allah sudah menunjukkan azabnya apatah lagi di akhirat kelak.

Saya boleh memberikan gambaran atas kejadian begitu bahawa kita manusia tidak boleh lari daripada azab pembalasan jika melakukan salah yang besar atau dosa yang besar. Bagi isteri-isteri tetapkan iman, jangan berlaku curang pada suami kita kerana dosanya amatlah besar.

Dosa berzina sudah cukup besar tidak tertanggung bagi yang masih bujang, apatah lagi wanita yang bergelar isteri melakukan zina. Nauzubillah…hanya Allah sahaja yang mengetahui akan azabnya kelak.

Di dunia lagi sudah Allah tunjukkan maka sama-sama kita ambil iktibarnya supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan pada diri kita atau keluarga kita, minta disisihkan Allah



No comments:

Post a Comment