Saturday, 30 June 2012

ISTERI DR MUHAMMED MURSI HAFIZAH AL-QURAN

Najla Mahmud, Isteri kepada Presiden Mesir Pertama Selepas Revolusi, Dr Mohamed Mursi


Pesannya kepada suami :

"Saya tidak akan mengatakan kepada doktor, 'Cukuplah kerja anda sampai di sini' kerana Islam mengajarkan kepada kami untuk sentiasa beramal hingga akhir kesempatan. Ini disebabkan kami beramal kerana Allah. Saya tidak dapat melihat Dr. Mursi tidak beramal. Apabila itu berlaku, justeru saya merasa ada yang aneh padanya. Semoga Allah menolongmu memikul tanggungjawab ini dan memberimu keteguhan dan keredhaan serta menjadikan kami sebagai penolongmu di jalan tersebut".

SULAIMAN AL-RAJHI PENGASAS BANK AL-RAJHI




Sulaiman Al-Rajhi, berusia 80 tahun merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia sekarang, sebenarnya dulu hanyalah seorang rakyat yang miskin. Tetapi beliau telah berjaya mengubah hidup sehingga menjadi jutawan  Arab yang berjaya  dan merupakan pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.

Sehingga 2011, majalah Forbes telah menganggarkan kekayaan beliau bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120 yang terkaya di dunia.

Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negaranya.

Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka di dunia.

Walaupun Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki beliau sebelum ini.

Keadaan tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang selebihnya.

Bagi menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada Islam.

Dalam satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.

Beliau kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang berkaitan dengan yayasan tersebut.

Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.

Beliau sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun.

Selain daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.

Daripada segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga beberapa lagi pelaburan.

Temubual:

Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?

Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya untuk menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.

Mengapa berbuat begitu?

Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan. Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.

Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?

Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka meninggal dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.

Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?

Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.

Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?

Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil sebelum melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan terhadap pertukaran wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam terbesar di dunia. Saya mulakan eksperimen saya dengan membuka pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya. Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem perbankan Islam. Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya kemudiannya mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan cara yang halal menurut undang-undang syariah.

Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?

Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali saya membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan). Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.

Bagaimana pula dengan hobi syeikh?

Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian di negara-negara lain selain dari Saudi.

Ketepatan masa Al-Rajhi

Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam menepati masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”

Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan dalam Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan daripada kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali menyertai majlis tersebut.

Penyelesaian Masalah

Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh Allah adalah lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.” 

PENYOKONG KUAT DR MUHAMMED MURSI


Imam dan khatib Masjid Qaid Ibrahim, Syeikh El-Mehlawi adalah antara kalangan ulama Al-Azhar yang menyokong Dr.Muhammad Mursi .

Walaupun tidak berjawatan tinggi tetapi beliau berani dan lantang menentang kebatilan. Beliau telah berjaya melahirkan tokoh pejuang seperti Dr.Sofwat Hijazi dan As-Syahid Abdul Aziz Rantissi.


Syeikh Ahmed Abdul Salam El-Mehlawi berusia 87 tahun, dilahirkan pada 1 Julai 1925. Graduan dari Fakulti Syariah Islam Universiti Al-Azhar tahun 1957. Kemudian beliau bertugas sebagai imam dan khatib di Kementerian Wakaf Mesir di Masjid Sidi Gabir, Iskandariah.

Beliau telah menasihati Jehan Sadat (isteri bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat) supaya menutup aurat dan menerangkan  hukum berhias (tabaruj) kepadanya ketika Jehan datang merasmikan pusat kebajikan milik masjid.  Kerana keberaniannya itu, beliau kemudian ditangkap atas tuduhan "bercakap sesuatu yang tidak selayaknya" dengan Anwar Sadat, Presiden ketika itu. Selepas dibebaskan, beliau dipindahkan ke Masjid Qaid Ibrahim.

Pada tahun 1996, pihak berkuasa Mesir melarang beliau menyampaikan khutbah tetapi ia tidak menjejaskan semangat beliau menyampaikan dakwah. Beliau juga merupakan guru kepada Dr.Sofwat Hijazi dan As-Syahid Dr.Abdul 'Aziz Rantisi, pemimpin Hamas (yg menuntut di Universiti Iskandariah pada masa itu). 

Semasa revolusi 25 Januari, beliau turun bersama-sama rakyat yg menjadikan kawasan Masjid Qaid Ibrahim yang berhampiran pantai sebagai medan revolusi bagi wilayah Iskandariah bahkan membakar semangat para pemuda melalui khutbahnya hingga menerima gelaran "khatib revolusi". 

Pada pusingan pertama Pilihanraya Presiden, beliau dengan jelas memberikan sokongan kepada Dr.Mursi. Beliau berulang kali mengeluarkan fatwa haram mengundi untuk calon fulul sama ada Ahmed Syafiq atau Amru Musa. 

Apabila keputusan secara rasmi menyaksikan Syafiq berjaya memasuki pusingan ulangan, beliau amat kecewa dan kesedihan menyebabkan beliau tidak dapat berkhutbah pada Jumaat berikutnya. Untuk pusingan ulangan ini, beliau mengulangi pendirian menyokong Mursi. Dalam menghadapi tohmahan dan fitnah dari kempen Ahmed Syafiq yang menuduh Ikhwan pelbagai tuduhan tidak masuk akal, beliau secara spontan meminta Syafiq melakukan pemeriksaan mental. Beliau juga mengeluarkan hukum bahawa merosakkan undi dan memboikot dalam pilihanraya merupakan satu dosa.

Dalam kunjungan Mursi yang berkempen ke Iskandariah semalam, beliau sempat menulis sepucuk surat ditujukan kepada Mursi. Menggunakan tulisan tangan, beliau menulis:

"Kepada saudara Dr.Muhammad Mursi, Presiden Mesir. Sesungguhnya kamu telah memudahkan kami untuk memuhasabah dirimu kerana kamu mengangkat syiar dan syariat Islam, rujukan kamu jelas iaitu Al-Quran dan Sunnah. Dari ini, kami ingin katakan kepadamu, jika kamu berkata baik, maka kami akan berkata kepadamu baik. Jika kamu berkata salah, maka kami akan katakan kepadamu salah. Saya memohon kepada Allah agar membantu kamu untuk melakukan kebaikan. Dan kami bersama kamu."

Thursday, 28 June 2012

PRESIDEN MESIR PROF. DR. MUHAMMED MURSI



Untuk keterangan lanjut   ~~~>   Mohammed Mursi mula tugas



Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi telah diisytihar memenangi pemilihan Presiden Mesir yang pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan dan pemerintahan kuku besinya dikuburkan.

Mursi, yang mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan, memperoleh 51.73 peratus undi atau lebih 13 juta undi manakala pencabarnya di pusingan kedua pemilihan, Ahmed Shafiq, yang juga bekas Perdana Menteri era Hosni, mengumpulkan 48.27 peratus undi atau lebih 12 juta undi.

Pengumuman pada pagi Isnin, 18 Jun 2012, dibuat di sebalik kawalan ketat ekoran kebimbangan bahawa keputusan pemilihan boleh membawa kepada pergaduhan, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal sebagaimana disaksikan awal tahun lalu – ketika kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan kepimpinan Hosni.

Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka. Kuasa presiden dihadkan manakala perlembagaan pula belum dirangka.


Dr  Mohammed Mursi merupakan pemimpin kedua dunia di zaman moden ini yang telah menghafaz al-Quran 30 juzuk selepas Ismail Haniya, Perdana Menteri Palestin sekarang. 





BIODATA PROF. DR. MUHAMMAD MURSI 

Nama Penuh :
Muhammad Morsi Isa al-Ayyat

Lahir : 
20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah

Pengajian : 

(i) Universiti Cairo 
~ Bidang Kejuruteraan pada tahun 1970 hingga 1975
~ Kejuruteraan Metalurgi pada tahun 1978

(ii) Universiti Southern California, Amerika Syarikat
~ Sarjana Kedoktoran pada tahun 1982 


Bapa :  petani 

Ibu    : suri rumah. 

Berkahwin : tahun 1978
- isterinya adalah hafizah al-Quran seperti beliau sendiri
Anak  : lima anak 
-  kelima-lima orang anaknya adalah hafiz dan hafizah al-
   Quran

Cucu   : tiga cucu 
          
Kerjaya : 

1. Menjadi pensyarah di Universiti Southern California, 
    Amerika Syarikat

2. Menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North 
    Ridge

3. Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan 
    Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti 
    Zaqaziq

4. Aktif sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul 
    Muslimin dan terpilih sebagai ahli parlimen tempoh 2000-
    2005. 

5. Terpilih sebagai ahli Majlis Penentangan Terhadap 
    Zionisme di Wilayah Syarqiyah

6. Pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme

7.  Terkenal dalam bidang akademik melalui pelbagai kajian 
    dalam bidang industri yang menyentuh pengeluaran hasil 
    bumi Mesir, malah mempunyai puluhan kajian dalam 
    menyelesaikan kajian permukaan logam yang dianggap 
    sebagai bidang utama kepakarannya, sehingga kajiannya 
    diiktiraf oleh NASA pada tahun sekitar tahun 80an.

8.  Pendakwah yang bergiat cergas dalam Jemaah Ikhwanul 
     Muslim, memperjuang dan mengorbankan diri dan harta
     harta telah diwaqafkan dalam jalan dakwah. Perjuangan
     nya menyebabkan beliau berkali-kali ditangkap. 

9. Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan 
    sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin yang lain, 
   pada hari Jumaat pagi, yang terkenal sebagai Jumaat 
   Amarah (Jumaat Al-Gadhab), 28 Januari 2011 supaya tidak 
   terlibat dengan demonstrasi.

~ Tidak hanya beliau yang dizalimi, keluarganya turut 
   menjadi sasaran penangkapan, anaknya Dr. Ahmad 
   ditangkap di saat Dr. Muhammad Mursi mencalonkan diri 
   pada pemilihan tahun 2000. 

10. Setelah prestasinya dalam politik selama lima tahun, 
      Majlis Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai   
      anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir. Majlis   
      Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai Presiden 
     Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti 
     yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.

* Ikhwanul Muslimin ditindas dan dizalimi selama lebih kurang 80 tahun dan memperjuangkan sebuah keadilan dan kebebasan.  Pengasasnya Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang syahid terbunuh secara misteri, malah saat kematian dilayan dengan keji oleh pemerintah disusuli Sayyid Qutub, Muhammad Al- Farigili, Abdul Qadir Audah, hingga As-Syahid Nashir Uwais, dia antara pemuda Ikhwan yang syahid pada Revolusi 25 Januari 


1. Satu-satunya presiden yang mana dia, isteri dan 5 anaknya menghafaz al-Quran

2. Satu-satunya calon yg berjanji di hadapan Allah dan rakyat untuk melaksanakan syariat Islam

3. Satu-satunya presiden yang pernah mengajar di 5 buah universiti antarabangsa

4. Satu-satunya presiden yang artikel-artikelnya diterbitkan oleh NASA

5. Satu-satunya presiden yang pernah terpilih sebagai ahli parlimen terbaik di dunia dari tahun 2000-2005

6. Satu-satunya presiden yang tidak mencalonkan dirinya untuk jawatan tetapi dipilih oleh syura.

7. Satu-satunya presiden yg memperolehi sokongan dari pergerakan cendikiawan terbesar Mesir iaitu Islamic Legitimate Body of Rights and Reformation

8. Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya parti politik terbesar Mesir iaitu Perti Kebebasan dan Keadilan

9. Satu-satunya calon yg berdiri di belakangnya Jamaah Islam terbesar di dunia iaitu Jamaah Ikhwan Muslimin

10. Satu-satunya calon yang memiliki sebesar-besar projek pembangunan dan mengabungkan 1000 orang pakar dalam semua bidang kepakaran.




ENTRI BERKAITAN :

~> PENYOKONG KUAT DR MUHAMMED MURSI






ZALEHA MENAFIKAN ORANG KETIGA ANTARA JALANI SIDEK DAN RAJA AZMI




AHLI perniagaan, Zaleha Mohd Khalid, 47, yang sebelum ini mengaku teman rapat Jalani Sidek, 49, tidak mahu dirinya dikaitkan dengan perceraian jaguh badminton negara itu dengan bekas isterinya, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53. 

"Kenapa pula soalan itu (apakah dia orang ketiga yang dikatakan punca perceraian) harus dituju kepada saya, sedangkan saya tidak bersangkut paut dalam hal perceraian mereka? Sebelum ini pun, sudah mereka (Jalani dan Raja Azmi) sahkan perceraiannya bukan kerana orang ketiga.

"Memang saya akui sebelum ini hubungan saya sekeluarga bersama keluarga mereka sangat baik seperti sebuah keluarga, namun isu perceraian ini jangan dikaitkan dengan saya," katanya kepada HIP.

Nama Zaleha dan persahabatannya dengan Jalani mula diperkatakan sejak akhir tahun lalu berikutan tersiarnya laporan dalam akhbar Berita Minggu bertarikh 4 Disember yang mendedahkan hubungan mereka. Namun, Zaleha menafikan laporan itu, sebaliknya menyifatkan hubungan bersama Jalani sekadar teman rapat dan majikan. 

Dia juga menafikan mengeluarkan perkataan 'cinta' berkaitan hubungannya dengan Jalani seperti yang didedahkan dalam artikel berkenaan. 

sumber gambar : utusan online

Petang Rabu, 27 Julai, bekas jaguh badminton negara itu, Jailani Sidek, 48, bercerai talak satu dengan isterinya, produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, petang Rabu.

Lafaz cerai itu dibuat di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin kira-kira pukul 3.25 petang.

Antara alasan perceraian mereka ialah tidak lagi wujud kasih sayang selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.

Pasangan tersebut turut ditemani anak kedua mereka iaitu Puteri Suaida, 23.


Selepas prosiding itu, Jalani dilaporkan menafikan perceraiannya berpunca orang ketiga, sebaliknya dibuat atas persetujuan bersama serta bukan atas paksaan manamana pihak. 

Zaleha berkata, dia menghormati keputusan Jailani. 

"Siapa yang mahu melihat keruntuhan rumah tangga sendiri yang sudah dibina berpuluh tahun, begitu juga dengan saya. Saya harap mereka buanglah yang keruh dan ambillah biarpun sedikit kebaikan untuk hari tua kita," katanya. 

Zaleha berkata, dia mendoakan segala yang terbaik untuk Jailani dan Raja Azmi termasuk anak-anak mereka yang sudah dianggap seperti anak sendiri. 

"Jangan kita ganggu lagi hidup mereka, berilah ruang dan masa untuk mereka menempuh kehidupan baru yang lebih bahagia. Saya faham banyak hati yang harus kita jaga dan jangan sesekali kita mengaibkan orang lain jika kita tidak mahu diaibkan oleh pihak lain," katanya.

Tuesday, 26 June 2012

JIN TIADA PENGARUH TERHADAP ORANG YANG TAAT KEPADA ALLAH




Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai perkara ghaib. Sementelah dunia ini bukan saja didiami manusia, malah turut dihuni jin dan syaitan.

Kita digalak berdoa supaya dilindungi Allah SWT daripada kejahatan jin dan manusia. Seperti firman Allah dalam surah An-Naas, yang bermaksud: 

“... Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” 

Antara sebab utama membuatkan manusia mudah didampingi jin adalah kerana cinta jin jatuh cinta kepada seseorang manusia.

Diceritakan dalam sebuah kisah yang berlaku pada zaman Ibnu Taimiyah. Seorang lelaki dirasuk seekor jin dan Ibnu Taimiyah berbisik ke telinga lelaki berkenaan dengan membaca ayat al-Quran dari Surah Al-Mukminun ayat 10, yang bermaksud: 

“Adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan kembali kepada Kami?” 

Tiba-tiba roh itu menjawab: “Ya.” 

Kemudian, Ibnu Taimiyah mengambil sebatang tongkat dan memukul lelaki (orang dirasuk) itu di lehernya hingga berasa penat. Tiba-tiba roh halus itu bersuara menjawab: “Aku mencintainya.” 

Lantas Ibnu Taimiyah menjawab: “Dia tidak mencintaimu.” 

Maka jawab roh itu: “Jika demikian, aku akan pergi meninggalkannya sebagai penghormatan kepadamu.” 

Namun, Ibnu Taimiyah berkata: “Tidak. Kamu harus keluar daripada jasad ini kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.” Keluarlah roh halus berkenaan, dan lelaki yang dirasuk tadi beransur-ansur pulih.

Selain itu, antara kes yang berpunca daripada manusia itu sendiri ialah apabila kita secara tidak sengaja masuk ke rumah yang lama dibiarkan kosong dan menjadi tempat kediaman jin.

Kerana itu, Islam mengajar kita memberi salam iaitu: 

~  “Assalamu ‘alaina wa’ala ‘ibadillahis saalihin” 

~  serta membaca ayat Kursi ketika masuk ke rumah kosong 
    kerana khuatir ia ‘berpenghuni’.

Roh halus juga mudah mendampingi manusia pada saat seseorang itu lemah dan tidak di dalam ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul, seperti : 

~  Lalai melakukan amal ibadah kepada Allah

~  Ketika di puncak kemarahan

~  Terlalu mengikut hawa nafsu 

~  Berdendam

Perkara ini dinyatakan dalam surah An-Nahl, ayat 99-100, yang bermaksud: 

Sesungguhnya syaitan tidak mempunyai pengaruh terhadap orang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh syaitan hanya terhadap orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.” 

Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-Araf ayat 27, yang bermaksud: 

“... Sesungguhnya Kami menjadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman.” 

Kerana itu, berwaspada selalu kerana syaitan dan jin gemar mendampingi manusia ketika manusia lemah iman dan takwanya kepada Allah.

Ingat, sesungguhnya hidup kita didampingi pelbagai jenis manusia, syaitan dan jin yang mempunyai pelbagai ragam. Kadangkala manusia, jin serta syaitan berpakat untuk mengkhianati manusia lain.

Kita tidak tahu apa yang difikirkan manusia sekeliling kita mengenai diri kita. Mungkin ada sesuatu dendam atau iri hati yang terbuku di hati mereka apabila melihat kita. Ada juga yang dengki apabila melihat jodoh kita bersama pasangan kita. 

Berikut amalan untuk melindungi diri :

~  Peliharalah solat

~  Perbanyaklah membaca al-Quran

~  Mengamalkan ayat Kursi ketika hendak tidur dan selepas 
     solat

~  Mengamalkan juga membaca tiga surah iaitu An-Nas, Al-
     Ikhlas dan Al-Falaq.

Insya-Allah, Allah akan memelihara hamba-Nya yang memelihara hak serta kewajipan kepada-Nya.

Monday, 25 June 2012

MAYAT WANITA KAKI ZINA DIMAKAN LINTAH




Kisah ini diceritakan oleh seorang bomoh di salah sebuah negeri di Utara Semenanjung Malaysia sebagai pengajaran darinya.

“Dalam saya merawat seorang pesakit, saya telah dikhabarkan satu kisah tragis mengenai seorang isteri curang. 

Jamilah walaupun telah ramai anak, masih jelita dengan bentuk badan yang menarik. Tambahan beliau pandai bergaya, berkulit putih dan hanya bertudung litup sahaja. Jamilah berniaga kecil-kecilan dengan menjual beras seludup dari Thailand. Suaminya Husin hanya seorang petani di kampung.

Ketika itu kegiatan penyeludupan beras tidak dikawal oleh kerajaan seperti sekarang. Maka ramai para wanita melibatkan diri dengan berniaga beras seludup dari Thailand. Pendapatan hasil penjualan beras seludup tidaklah seberapa, hanya cukup untuk menampung kehidupan seharian sahaja.” jelasnya.

Husin berusia 50an. Beliau baik dan jujur. Beliau merestui pekerjaan isterinya dan menurut apa sahaja kata isterinya tanpa banyak bantahan. 

Sementara Jamilah pula semakin bebas ke sana ke mari dengan alasan pekerjaan. Kadang-kadang Jamilah pulang lewat malam bahkan pernah juga tidak pulang untuk sehari dua. Tetapi Husin tetap mempercayai kejujuran Jamilah dan percaya semuanya adalah demi mencari wang dan membela nasib keluarganya.

Wanita-wanita lain sekitar kampung Jamilah ramai juga yang melakukan pekerjaan menjual beras seludup namun ianya hanya sekadar boleh menyara kehidupan ala kadar sahaja. Berbeza dengan Jamilah yang menampakkan sedikit mewah dengan gelang dan rantai emas yang banyak pada tubuhnya. 

Maka terbit perasaan ingin tahu di hati ramai orang  yang mempertikai akan kelebihan Jamilah kerana  ramai juga yang melakukan pekerjaan sama namun tidak semewah Jamilah. Maka setiap pergerakan Jamilah mula menjadi intipan banyak mata tanpa disedarinya. 

Rahsia Jamilah mula terbongkar apabila pihak Imigresen Thailand membuat pemeriksaan di sempadan di mana tertangkap beberapa orang yang cuba menyeludup masuk beras dari Thailand termasuklah Jamilah ditahan sama ketika itu.

Namun setelah beberapa jam kemudian mereka nampak Jamilah dilepaskan oleh seorang pegawai Kastam Thailand dengan muka yang senyum dan beras seludupnya juga selamat dibawa balik ke Malaysia. Manakala orang lain yang menyeludup masuk beras terpaksa membayar denda dan beras mereka pula dirampas. 

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakan-rakan penyeludupnya yang lain. Kenapa Jamilah dilepaskan sedangkan mereka menerima nasib sebaliknya. Maka siasatan dibuat oleh beberapa orang yang tidak puas hati berkenaan. Akhirnya mereka mendapat tahu rupa-rupanya Jamilah telah memberikan rasuah kepada pegawai Kastam Thailand berkenaan dengan menyerah tubuhnya untuk ditiduri.

Malah rasuah tersebut bukan sekali dua bahkan telah banyak kali berlaku setiap kali tidak boleh membolosi diri ditahan Kastam Thailand di sempadan. Tidak lama kemudian mereka mendapat khabar bahawa rupa-rupanya semasa berada di  Thailand Jamilah memperdagangkan tubuhnya sebagai pelacur dengan lelaki-lelaki di negara itu. 

Cerita Jamilah mulai heboh diceritakan dan dicemuhi  oleh orang kampung serta masyarakat setempat. Mereka jijik Jamilah tergamak melakukan perkara terkutuk sedemikian semata-mata untuk mencari sedikit kemewahan. 

Suami Jamilah sudah lewat 50an mungkin juga tidak segagah dahulu lagi manakala Jamilah berusia lewat 40an masih bernafsu, tidak mustahil ianya satu perlakuan yang terdesak disamping minat pada wang. 

Husin seakan tidak percaya apabila diberitahu oleh orang kampung akan kecurangan isterinya. Husin serba salah, hendak menuduh isterinya curang beliau tidak mempunyai cukup bukti dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri. Maka Husin mengambil jalan selamat dalam pemikirannya dengan hanya mendiamkan diri dan berserah kepada Allah.

Selang beberapa tahun selepas itu, Jamilah diserang sakit  kepala, diikuti dengan demam dan kemudian jatuh sakit. Makin hari makin teruk sakit Jamilah. Selang beberapa minggu kemudian Jamilah mengalami nazak yang teruk. 


Pada hari sakaratul maut Jamilah dikatakan menyalak seperti anjing beberapa kali salakan sebelum nyawanya habis. Jamilah habis nyawa dalam keadaan menyedihkan dengan matanya terbeliak dan lidahnya terjelir. 

Upacara kematian dilakukan seperti biasa bagi menyempurnakan jenazah Jamilah. Setelah dikafankan liang lahad disukat dan digali. 


Bila tiba masa untuk dikebumikan, mayat Jamilah diusung ke kubur. Kejadian anih mula berlaku apabila mayat Jamilah hendak dimasukkan ke liang lahad. Kekecuhan pertama berlaku apabila didapati panjang liang lahad itu tidak mencukupi untuk meletakkan mayatnya. Maka mayat Jamilah diukur semula dengan hati-hati dan liang lahad dipanjangkan dengan ukuran yang baharu. 

Yang anehnya apabila dimasukkan mayat Jamilah, liang lahad masih tidak cukup panjang juga. Maka diulangi untuk kali ketiga akan proses memanjangkan lagi liang lahad itu.  Pun begitu didapati masih tidak cukup panjang untuk mayat Jamilah. Akhirnya orang kampung berserah kepada Tuhan melihat kejadian luar biasa itu dan mayat Jamilah disimpan begitu tanpa memanjangkan lagi liang lahadnya.


Setelah semua keluarga pulang ke rumah, tiba masa untuk Husin membuat sijil kematian Jamilah pada hari itu juga. 

Bila diminta kad pengenalan daripada anak perempuannya kata anaknya itu, “Allah, abah sewaktu mengkafankan mayat mak, saya terletak kad pengenalan atas jenazah mak. Kad pengenalan itu ada bersama mayat mak dalam kubur” 

Husin agak terganggu dan memarahi anak perempuannya itu kerana terpaksa memanggil penggali kubur untuk menggali kembali liang lahad kubur arwah Jamilah yang baru beberapa jam dikebumikan tadi.

Maka kubur itu digali semula. Alangkah terkejutnya beberapa orang yang mengikut Husin, termasuk diri saya sendiri, kerana melihat mayat Jamilah telah didatangi beberapa ekor ulat seperti lintah namun bertaring menggigit tubuh mayat Jamilah. 

Husin cuba mengenepikan beberapa ekor ulat itu beberapa kali namun ulat yang sama itu kembali ke tempat asal di mana ianya menggigit tubuh mayat Jamilah tadi. Kejadian itu amat pelik sekali.

Setelah itu mayat Jamilah terpaksa dipusingkan agar tangan boleh diseluk ke dalam bungkusan kain kafannya untuk mendapatkan kad pengenalannya. Dalam mengiringkan mayat Jamilah itu sekali lagi kejutan berlaku. Terdapat beribu-ribu ekor ulat seperti lintah bertaring itu berada di bawah mayat Jamilah . Segera kami menimbusnya kembali setelah berjaya mendapatkan kad pengenalannya itu.

Saya tidak dapat membayangkan akan apakah rahsia sebenarnya kejadian yang Allah pertunjukkan sebegitu. Namun saya terasa agak seram dan insaf bila melihat kejadian aneh sebegitu buat pertama kali dalam sejarah hidup saya. Di dunia lagi Allah sudah menunjukkan azabnya apatah lagi di akhirat kelak.

Saya boleh memberikan gambaran atas kejadian begitu bahawa kita manusia tidak boleh lari daripada azab pembalasan jika melakukan salah yang besar atau dosa yang besar. Bagi isteri-isteri tetapkan iman, jangan berlaku curang pada suami kita kerana dosanya amatlah besar.

Dosa berzina sudah cukup besar tidak tertanggung bagi yang masih bujang, apatah lagi wanita yang bergelar isteri melakukan zina. Nauzubillah…hanya Allah sahaja yang mengetahui akan azabnya kelak.

Di dunia lagi sudah Allah tunjukkan maka sama-sama kita ambil iktibarnya supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan pada diri kita atau keluarga kita, minta disisihkan Allah