Saturday 30 June 2012

PENYOKONG KUAT DR MUHAMMED MURSI


Imam dan khatib Masjid Qaid Ibrahim, Syeikh El-Mehlawi adalah antara kalangan ulama Al-Azhar yang menyokong Dr.Muhammad Mursi .

Walaupun tidak berjawatan tinggi tetapi beliau berani dan lantang menentang kebatilan. Beliau telah berjaya melahirkan tokoh pejuang seperti Dr.Sofwat Hijazi dan As-Syahid Abdul Aziz Rantissi.


Syeikh Ahmed Abdul Salam El-Mehlawi berusia 87 tahun, dilahirkan pada 1 Julai 1925. Graduan dari Fakulti Syariah Islam Universiti Al-Azhar tahun 1957. Kemudian beliau bertugas sebagai imam dan khatib di Kementerian Wakaf Mesir di Masjid Sidi Gabir, Iskandariah.

Beliau telah menasihati Jehan Sadat (isteri bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat) supaya menutup aurat dan menerangkan  hukum berhias (tabaruj) kepadanya ketika Jehan datang merasmikan pusat kebajikan milik masjid.  Kerana keberaniannya itu, beliau kemudian ditangkap atas tuduhan "bercakap sesuatu yang tidak selayaknya" dengan Anwar Sadat, Presiden ketika itu. Selepas dibebaskan, beliau dipindahkan ke Masjid Qaid Ibrahim.

Pada tahun 1996, pihak berkuasa Mesir melarang beliau menyampaikan khutbah tetapi ia tidak menjejaskan semangat beliau menyampaikan dakwah. Beliau juga merupakan guru kepada Dr.Sofwat Hijazi dan As-Syahid Dr.Abdul 'Aziz Rantisi, pemimpin Hamas (yg menuntut di Universiti Iskandariah pada masa itu). 

Semasa revolusi 25 Januari, beliau turun bersama-sama rakyat yg menjadikan kawasan Masjid Qaid Ibrahim yang berhampiran pantai sebagai medan revolusi bagi wilayah Iskandariah bahkan membakar semangat para pemuda melalui khutbahnya hingga menerima gelaran "khatib revolusi". 

Pada pusingan pertama Pilihanraya Presiden, beliau dengan jelas memberikan sokongan kepada Dr.Mursi. Beliau berulang kali mengeluarkan fatwa haram mengundi untuk calon fulul sama ada Ahmed Syafiq atau Amru Musa. 

Apabila keputusan secara rasmi menyaksikan Syafiq berjaya memasuki pusingan ulangan, beliau amat kecewa dan kesedihan menyebabkan beliau tidak dapat berkhutbah pada Jumaat berikutnya. Untuk pusingan ulangan ini, beliau mengulangi pendirian menyokong Mursi. Dalam menghadapi tohmahan dan fitnah dari kempen Ahmed Syafiq yang menuduh Ikhwan pelbagai tuduhan tidak masuk akal, beliau secara spontan meminta Syafiq melakukan pemeriksaan mental. Beliau juga mengeluarkan hukum bahawa merosakkan undi dan memboikot dalam pilihanraya merupakan satu dosa.

Dalam kunjungan Mursi yang berkempen ke Iskandariah semalam, beliau sempat menulis sepucuk surat ditujukan kepada Mursi. Menggunakan tulisan tangan, beliau menulis:

"Kepada saudara Dr.Muhammad Mursi, Presiden Mesir. Sesungguhnya kamu telah memudahkan kami untuk memuhasabah dirimu kerana kamu mengangkat syiar dan syariat Islam, rujukan kamu jelas iaitu Al-Quran dan Sunnah. Dari ini, kami ingin katakan kepadamu, jika kamu berkata baik, maka kami akan berkata kepadamu baik. Jika kamu berkata salah, maka kami akan katakan kepadamu salah. Saya memohon kepada Allah agar membantu kamu untuk melakukan kebaikan. Dan kami bersama kamu."

No comments:

Post a Comment