Thursday, 21 June 2012

KEBERKATAN HARI JUMAAT



Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.

Penghulu Segala Hari

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: 

“Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” 

Katanya Rasulullah SAW bersabda: 

"Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani."

Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu :

1)  Allah ciptakan Adam 

2)  Allah turunkan Nabi Adam  ke bumi

3) Allah mematikan Nabi Adam

4)  Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon 
   sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta 
   sesuatu yang haram. 

5)  Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun 
      yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, 
     melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
     ( Riwayat Hadis Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Kelebihan Solat Jumaat

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Malaikat Turun ke Bumi

Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W  mengutuskan  malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”

Jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Tuesday, 19 June 2012

Dilarang Puasa Sunat Apabila Tinggal Separuh Bulan Syaaban



Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan umatnya. 

Oleh itu umat Islam tidak digalakkan untuk melakukan sesuatu yang akan mendatangkan mudarat pada diri atau menimbulkan rasa berat atau malas untuk menjalankan kewajipan utama lain yang harus dititikberatkan. 

Dalam menjalankan puasa sunat contohnya, kita tidak digalakkan untuk berpuasa sunat pada hari-hari seperti berikut : -

i)    Sama ada sunat hari Isnin atau Khamis dan lainnya 
       selepas 15 Syaaban, kecuali puasa qadha’ 

ii)   Juga bagi orang yang sentiasa melakukan amalan puasa 
       sunat yang bertepatan dengan hari berkenaan. 

Hikmah larangan tersebut adalah untuk mengelak orang-orang yang tidak biasa melakukan puasa sunat daripada merasa terlalu letih apabila mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan yang muncul selepas bulan Syaaban itu.


Entri-Entri Berkaitan :


~~~>  KELEBIHAN BERSELAWAT DALAM BULAN SYAABAN


~~~>  PINTU-PINTU RAHMAT DAN PINTU-PINTU PENGAMPUNAN DIBUKA PASA MALAM NISFU SYAABAN





IKAN DAN BELALANG BUKAN BANGKAI



Terdapat dua jenis binatang yang dikecualikan oleh syariat Islam daripada kategori bangkai iaitu belalang, ikan dan dari segala jenis binatang yang hidup di dalam air. 

Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja dan tidak beracun, tidak memabukkan  dan tidak membahayakan kesihatan manusia. 

Binatang dua alam adalah tidak termasuk di dalam kategori ini. 

Manakala belalang daun yang darahnya tidak mengalir juga halal dimakan. 

Darah adalah haram tetapi pengecualiannya diberi kepada hati dan limpa. Demikian juga sisa-sisa darah yang menempel pada daging atau leher binatang setelah disembelih. 

Kesimpulannya, setiap apa yang dinyatakan di dalam nas yang mengatakan ia haram, maka hukumnya adalah haram. 

Apa yang tidak dihukum sebagai haram, maka ia didiamkan syarak. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang jijik dan kotor. 

BAGAIMANA ILMU AGAMA DITARIK BALIK




Islam sangat mengutamakan ilmu dan menggalak umatnya untuk menuntut ilmu. 

Istilah ulama pula digunakan pada orang yang sangat memahami permasalahan agama dan mendalami ilmu agama. 

Malangnya di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa bidang ilmu tetapi hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja. 

Berbeza dengan zaman lampau, orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang menguasai atau pakar / “ahli” banyak cabang-cabang ilmu. 

Pendek kata, golongan ulama’ semakin lama semakin pupus. 

Justeru dengan waktu yang semakin singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu daripada mereka kerana kehidupan ini tidak akan berjalan dengan tertib tanpa bimbingan dari para ulama’. 

Tetapi kenyataannya, ramai orang pada hari ini yang tidak memahami situasi tersebut sehingga mereka merasa mampu mengatur kehidupan dunia tanpa merasa perlu melibatkan golongan ulama. 

Bahkan ada yang menganggap para ulama sebagai kelompok mereka yang ketinggalan zaman atau tidak memahami perkembangan zaman dan hanya berbicara dalam masalah ibadah dan akhirat semata. 

Akibatnya golongan ulama di remehkan dan dipandang sepi dalam keterlibatan mereka dalam urusan dunia. 

Justeru tidak hairan ada golongan manusia yang menjadikan orang-orang yang jahil dan bodoh sebagai pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kepada kesesatan dan kemusnahan.

TIGA KALI ADALAH LEBIH BAIK




Simbolik tiga kali dalam sesuatu perbuatan adalah bergantung pada situasi dan tempat. 

Misalnya, dalam melakukan sesuatu perkara ibadah seperti mengambil wudhu’, kita dikehendaki melakukan pada satu-satu rukun itu sebanyak tiga kali kerana ia adalah lebih baik bahkan termasuk dalam perkara sunat. 

Malah dalam kebanyakan perkara yang dilakukan, adalah lebih sempurna 'output'nya jika pelakunya mengulang-ulangkannya (setidak-tidaknya dua atau tiga kali). 

Perbuatan mengulang-ngulang ini akan membantu dalam banyak perkara, misalnya :

i)    Ketua yang mengulang-ngulang (atau bertanya jika arahannya difahami dan mengulangkannya) akan menyenangkan anak buahnya melaksanakan amanah yang telah diberikan.

ii)  Dalam hal mengingat dan menghafal, adalah dituntut untuk mengulang banyak kali. Jika kurang dari tiga kali, misalnya,  ditakuti tidak dapat mengingati ilmu yang dipelajari sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa.

iii)  Tetapi ada juga berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan lebih dari tiga kali akan mengundang mudarat dan keburukan atau jatuh pada peringkat batal contohnya jika bergerak dengan sengaja lebih dari tiga kali sewaktu dalam solat, solat dianggap batal. 

Sesungguhnya dalam hal ini Islam menekankan tentang kesederhanaan dan menegah perbuatan melampaui batas. Justeru bilangan 3 kali adalah jalan paling selamat!

BEKAS AHLI NERAKA



Pernahkah kita membayangkan tentang neraka? 

Tentang kegelapan neraka yang sangat pekat? 

Rasulullah bersabda yang bermaksud : 

“Api neraka dinyalakan seribu tahun hingga memerah, kemudian dinyalakan lagi seribu tahun hingga memutih dan dinyalakan lagi seribu tahun hingga berwarna hitam. Dan jadilah neraka itu gelap pekat.” 

Pernahkah pula kita membayangkan tentang minuman ahli neraka? 

Allah berfirman yang maksudnya : 

“..dan dia akan diberi minuman dengan air nanah, diminumkannya air nanah tersebut..” (Ibrahim: 16)

Rasulullah bersabda yang bermaksud : 

“Ketika didekatkan ke mulutnya maka mulutnya terbakar dan kulit kepalanya menggelupas. Dan ketika dia meminumnya, maka terputuslah ususnya sehingga minumannya keluar dari duburnya”. 

Kenyataannya peringatan tentang neraka yang menyala-nyala adalah supaya hati kita dapat disedarkan kerana tidak ada yang akan masuk ke dalamnya kecuali orang yang paling celaka, yang mendustakan kebenaran dan berpaling dari iman.

MENYAMBUNG SILATULRAHIM MEMANJANG UMUR MELUASKAN REZEKI



Silaturahim bermaksud: 

~ Menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang

~ Mengeratkan kembali rasa kecintaan 

~ Menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina 
    terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya

Membina dan mengeratkan silaturahim adalah satu tugas dan kewajipan yang dituntut dalam Islam .

Rasulullah s.a.w sangat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya :

” Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.” 

Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan. 
Ianya merangkumi mempertahan/membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

Pertengkaran selalunya adalah punca permasalahan dan  keretakan persaudaraan. Seterusnya akan terjadi perbuatan saling menjauhkan diri. 

Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain ataupun orang yang ketiga untuk mendamaikan saudaranya yang saling bertelagah.  Caranya terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing atau mengikut kesesuaian tempat dan situasi ketika itu, iaitu samada mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

Manakala bagi pihak yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. 

Hindarilah daripada bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan.

Ingatlah sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan tidak dapat diampunkan oleh Allah S.W.T.